Lalu aku bermimpi.
Mimpi yang cukup meluluhkan hati, tentang seorang insan yang cukup dekat dengan hati ini. Atuk.:(
Sedaya mana dicuba, awal mimpi memang mustahil untuk diingat. Aku tak tahu bagaimana cerita mimpiku bermula cuma yang pasti ada waktu aku, atuk dan adikku, Khalid di sebuah kedai makan seakan restoran. Atuk lapar mungkin.
Kemudian, kami bertiga berada di atas jalan raya, menunggang motor pacak 3. Atuk bawak, Khalid di tengah dan aku paling belakang memeluk erat mereka berdua. Kami hanya mengikut atuk, ke destinasi yang entah di mana, aku tak tahu. Yang aku tahu kami masih di Johor Bahru, sekitar Tarom dan Yahya Awal.
Pelik, tiba-tiba kami nampak seorang tourist yang kebingungan. Sesat mungkin namun tidak ditolong oleh ladyboy Siam yang ditanya. Hehe...yang ni kelakar.
Kemudian, ada satu family orang putih juga mencari arah 'Jalan Cerapan' (8) ? mungkin.
Lagi kepelikkan bila boss aku pun ada di situ, cuba membantu mereka. Pelik sungguh.
Atuk terus cuba menunjuk arah, dengan bahasa tangan. Dalam mimpi tu, aku sendiri keliru, kenapa atuk berbuat begitu sedangkan Bahasa Inggeris atuk sangat bagus. He can explain the direction in english very well but why he has the difficulties in doing so now?
Yang penting, kami teruskan perjalan. Kami menuruni bukit dengan motor, di sekeliling ku, aku cuma perasan semak lalang hijau di depan, kemudian ada menara pencawang, di depannya kelompok perumahan.
Dalam pelukan aku pada Khalid dan atuk, aku merasa badan atuk seakan tidak stabil, teroleng-oleng ke kiri dan ke kanan. Aku tak pasti, lalu aku dakap badannya lebih erat lagi. Khalid juga sama.
Tiba waktu paling sedih dalam mimpiku..
Dari belakang, aku bertanya..
"Atuk OK??"
Itu soalan yang biasa aku tanya kepada atuk semasa hayatnya, setiap kali kami berjumpa, setiap kali aku pulang dari mana-mana, setaip kali balik dari asrama, setiap kali pulang kerja, setiap kali aku menjengah bilik atuk untuk melihat dia, setiap kali aku merasa untuk berbual-bual dengannya, setiap kali aku bercakap di telefon dengannya,.. Setiap Kali. Aku bertanya 'Atuk OK?' dengan nada sama yang selalu kusebut.
"Atuk okayy.." ..Jawapan yang sama kuterima juga. Persis jawapan ketika hayatnya. Dengan nada suara yang sama.
Dalam mimpi itu, aku dapat rasakan yang aku tersenyum bila mendengarnya. Atuk ok...dan itu cukup membahagiakan.
Dari belakang motor, dengan tangan aku yang memeluk tubuh atuk, aku kemaskan kedudukan tangan, dan ku tunjuk isyarat bagus degan ibu jari kiri kepadanya. Spontan. Sekadar affirmation.
Kemudian, tanpa ku duga, atuk sambut isyarat bagus ku dengan ibu jarinya pula.
Lalu aku senyum lagi.
Aku senyum dan tiba-tiba berasa sedih. Aku mula menangis dalam diam. Air mata mulai gugur. Aku tahan perasaan agar tidak didengar esakan aku oleh Khalid mahupun atuk. Aku menangis kerana, aku tahu yang 'nice gesture' yang atuk buat itu akan buat ku merinduinya bila dia tiada nanti. Aku menangis kerana, aku tahu aku akan ingat kejadian tu bila atuk sudah tiada. Aku menangis memikirkan kemungkinan kehilangannya.
Tubuhku masih bergoncang..dalam esakan tangis kesedihan. Dalam mimpi tu, aku menangis seakan-akan betul..
..cukup betul, hingga membuatkan aku terjaga dari lena.
Aku kini di atas sofa. Di tengah rumah. Tiada khalid, tiada atuk. Bayang motor, semak dan lalang telah hilang. Realiti mengetuk mindaku. Atuk memang telah tiada. Atuk dah pergi buat selama-lamanya. Tiada lagi sekujur badan yang dapat ke peluk. Dalam jaga itu..aku memeluk tubuhkan sendiri, seolah-olah atuk masih ada di depan, aku pejamkan mata...dan air mata berjurai lagi.
Sedih hati ini, hanya tuhan saja yang tahu. Jika ini cuma mainan mimpi, aku terima. Walau sekadar mainan, ia sudah cukup membuatkan rinduku pada atuk membuak.
Aku panjatkan doa, agar atuk dan orang-orang yang ku sayang diampunkan dosa, aman dan damai di sana. Aku bermohon agar Allah membalas rasa kasih dan sayang atuk pada ku pula. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas. Aku pasrah.
Saat cerita ini ditulis, aku masih menangis. Sendirian. Tubuhku masih bergoncang menahan esak di dada. Aku tidak mahu menangis semahu-mahunya. Ini sudah cukup menyeksakan.
![]() |
..and to Him, you shall return. (Quran 10.56) |
Ya Allah, semoga aku dan atuk berjumpa semula di syurga suatu hari nanti.
Amin, ya rabbal alameen.
No comments:
Post a Comment